EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berucap ketika Jelajah Kita Selangor Penyayang dun Sepang di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana pada 11 Mac 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Jual semula rumah satu bilik, negeri bantu pemilik naik taraf kediaman

SEPANG, 11 MAC: Pemilik rumah satu bilik boleh menjual semula aset kepada Kerajaan Negeri sekiranya mahu membeli kediaman lebih besar dan bernilai tinggi.

EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan Rodziah Ismail berkata langkah itu dapat memastikan bekalan rumah yang dikhaskan kepad golongan bujang sentiasa ada.

“Kategori rumah ini ditawar untuk orang bujang sebab mereka juga mahukan privasi. Jadi kita sediakan rumah ini untuk keselesaan mereka. Apabila berkahwin dan mahu kediaman lebih besar, kita akan mudahkan urusan pembelian.

“Jual semula kepada Kerajaan Negeri. Wang hasil jualan boleh diguna untuk rumah baharu,” katanya pada sidang media selepas melancar Jelajah Kita Selangor Penyayang Sepang hari ini.

Rodziah berkata jualan rumah mampu milik berkenaan bakal dibuka kepada orang ramai kira-kira tiga tahun lagi.

Pada Februari beliau mengumumkan pembinaan rumah satu bilik di kawasan bandar raya dengan harga maksimum RM114,750.

Kediaman berkeluasan 450 kaki persegi itu yang diperkenal menerusi Dasar Perumahan Rumah Selangorku 3.0 bakal dibangunkan di Shah Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya.


Pengarang :