SHAH ALAM, 24 MAC: Jelajah Ehsan Rakyat (JER) menawarkan lebih banyak barangan keperluan menjelang sambutan Aidilfitri, kata EXCO pemodenan pertanian.
Ir Izham Hashim berkata jualan murah berkenaan kekal menawarkan enam produk utama selain menambah beberapa barangan keperluan lain bagi memenuhi permintaan orang ramai dalam membuat persiapan raya.

“Senarai barangan masih dalam perbincangan bagi memastikan ia dapat memenuhi keperluan penduduk. Inisiatif ini menjamin penduduk mendapat keperluan raya lebih mudah di samping harga berpatutan.
“Kita tahu penduduk akan berbelanja lebih sekali gus memerlukan belanja banyak untuk sambut raya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Izham berkata lokasi jualan murah barangan berkenaan akan menumpukan kawasan kediaman penduduk berpendapatan rendah.
“Kita masih meneliti kesesuaian lokasi dan mungkin akan diadakan di setiap daerah supaya ramai penduduk mendapat manfaatnya,” katanya.

Awal bulan ini, pegawai eksekutif kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata JER akan diadakan setiap Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan ini.
Bagaimanapun, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi menjelaskan jualan akan menyediakan keperluan dan bekalan dalam kuantiti lebih banyak.
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
Turut dijual barangan kering keluaran jenama Ehsan PKPS seperti tepung gandum, gula, sos cili, sos tomato, kicap, sardin tin, biskut, beras pulut, mi kering dan cili giling.
