Jambatan yang menjadi jalan pintas kepada penduduk untuk ke Jalan Chan Wing Paloh dan Kluang ditutup selepas berlaku keretakan ketika tinjauan keadaan banjir di sekitar Rumah Rakyat Bekok, Segamat pada 5 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Paras air di Batu Pahat meningkat, orang ramai dinasihat berhati-hati

BATU PAHAT, 6 MAC: Polis menasihatkan orang ramai terutamanya sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) untuk sentiasa peka dengan keadaan semasa susulan berlaku peningkatan paras air banjir di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata setakat petang ini, pihaknya mendapati terdapat peningkatan paras air antara 0.3 hingga 0.5 meter di sekitar daerah itu walaupun cuaca ketika ini panas.

Beliau berkata peningkatan itu disebabkan aliran air dari daerah Segamat masuk ke daerah itu melalui Sri Medan seterusnya ke Parit Sulong.

Susulan itu, katanya kawasan yang masih terjejas akibat banjir adalah di Parit Raja, Ayer Hitam dan Taman Sri Gading.

“Saya nasihatkan mereka yang mahu masuk ke kawasan ini agar berhati-hati kerana ada laluan yang masih ditenggelami air atau dibuka satu laluan sahaja, ikut arahan pihak berkuasa,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Balai Polis Sri Medan di sini hari ini.

Beliau berkata tiga jalan utama yang masih ditutup untuk semua jenis kenderaan ialah Sri Medan-Parit Sulong, Batu Pahat ke Parit Sulong melalui Jalan Parit Jalil dan Seri Gading-Sri Medan.

Menurut Ismail laluan lain masih boleh dilalui namun perlu berhati-hati kerana ada jalan yang dibuka satu arah sahaja.

“Setakat semalam, kita telah menutup lapan pusat pemindahan sementara (PPS) kerana kawasan itu dinaiki air antaranya di Sri Medan, Parit Haji Kamisan, Tongkang Pechah dan Yong Peng,” katanya.

Tinjauan Bernama di Sri Medan hari ini mendapati cuaca panas, namun air banjir masih melimpah di jalan raya dan masih ada rumah yang ditenggelami air.

Setakat 4 petang tadi, jumlah mangsa banjir di Johor ialah 43,270 orang melibatkan sembilan daerah, manakala Batu Pahat menjadi daerah paling terjejas teruk dengan jumlah mangsa seramai 21,164 orang.

– BERNAMA


Pengarang :