Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR
SEPANG, 11 MAC: Pengusaha Restoran Dapur Kampung, Taman Putra Perdana di sini menyifatkan kunjungan Dato’ Menteri Besar untuk bersarapan pagi ini sebagai kenangan teristimewa sepanjang 15 tahun berniaga.
Mengakui bangga dan teruja, Jamlus Mahat, 60, berkata beliau pada mulanya gementar apabila diberitahu tiga hari lalu mengenai kedatangan Dato’ Seri Amirudin Shari ke premis miliknya.

“Mestilah gementar orang nombor satu negeri nak datang ke kedai. Hari ini hari yang sangat istimewa, belum pernah orang kenamaan datang ke restoran kami.
“Saya rasa sangat gembira dan bangga bila Menteri Besar memilih bersarapan di sini dan dapat berjumpa depan-depan dengannya,” katanya kepada Selangorkini.
Kata Jamlus, nasi lemak yang menjadi menu popular pengunjung di kedai itu adalah resepi sejak 15 tahun dahulu.
“Saya mula berniaga di Masjid Jamek Kuala Lumpur dan selepas itu membuka cawangan di Cyberjaya dan seterusnya di sini (Taman Putra Perdana),” katanya.
Dato’ Menteri Besar hari ini menyantuni penduduk sekitar Sepang dengan meluangkan masa bersarapan di Restoran Dapur Kampung.
Dalam kunjungan kira-kira 30 minit itu, Dato’ Seri Amirudin Shari memilih menikmati nasi lemak sambal sotong iaitu menu popular di kedai berkenaan.