Pengurus Kanan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) Azrul Aziz menyampaikan cenderahati kepada Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad selepas sesi Bual Bicara CEO: Inspirasi Usahawan anjuran Hijrah di Perpustakaan Tun Raja Uda, Shah Alam pada 8 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Rancangan temu bual CEO, usaha Hijrah cetus inspirasi buat usahawan

SHAH ALAM, 9 MAC: Yayasan Hijrah Selangor menerbitkan sebuah segmen Bual Bicara CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) dalam usaha memberi inspirasi kepada usahawannya.

Pengurus Kanan Korporatnya Azrul Aziz berkata rancangan temu bual CEO atau ketua jabatan itu bertujuan berkongsi maklumat dan peluang disediakan agensi tertentu untuk kemudahan mereka serta tidak hanya bergantung kepada Hijrah.

“Hari ini (semalam) merupakan siri pertama rancangan Bual Bicara CEO dan kita memilih Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad.

“Daripada situ, kita mendapat maklumat PPAS menyediakan pelbagai kemudahan seperti petak berniaga di perpustakaan dan pinjaman komputer riba,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya akan meneruskan siri seterusnya dengan sasaran enam atau tujuh CEO dengan perspektif berbeza mengikut agensi.

“Saya harap objektif kita sampai dan usahawan juga dapat inspirasi menerusi segmen ini. Rancangan bakal disiarkan di media sosial Hijrah dan tarikh akan dimaklum kelak,” tambahnya.


Pengarang :