Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas merasmikan Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Kuala Langat di Banting Waterfront, Kuala Langat pada 5 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor keluar dana beli vaksin Covid-19, manfaat 350,000 penduduk

KUALA LANGAT, 6 MAC: Suntikan vaksin Covid-19 yang ditawar secara percuma oleh Kerajaan Negeri sejak 2021 berjaya memanfaat kira-kira 350,000 penduduk.

Dato’ Menteri Besar berkata 700,000 daripada 900,000 dos pelalian yang dibeli menggunakan dana Tabung Amanah Warisan Negeri diberi kepada rakyat setakat ini menerusi program Vaksin Selangor (Selvax).

“Tahun 2021 sangat mencabar kerana kita terpaksa mengeluarkan wang dan rizab kita untuk beli vaksin sendiri, walaupun kerajaan persekutuan membuat perbelanjaan bagi tujuan itu.

“Kita satu-satunya negeri di Malaysia yang mampu beli vaksin sendiri dan beri percuma kepada rakyat,” katanya ketika berucap sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang peringkat daerah Kuala Langat di Banting Waterfront semalam.

Bermula 7 Februari lalu, program pemberian suntikan Covid-19 dan dos penggalak secara percuma diteruskan dengan kerjasama 15 rangkaian Klinik Selcare dan THE KL Clinic negeri ini.

Ketika negara dilanda pandemik, Kerajaan Negeri melaksanakan program Selvax bagi mempercepatkan imunisasi rakyat diikuti program dos penggalak di bawah Selvax Booster.

Sebelum ini, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah memaklumkan Selangor memiliki bekalan simpanan suntikan penggalak vaksin Covid-19 mencukupi terutama bagi vaksin jenama Sinovac.


Pengarang :