Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Sertwo International Sdn Bhd Nor Azwa Omar Jamli menunjukkan produk yang dipamerkan di Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 12 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sidang halal peluang promosi produk, saran jemput lebih ramai peserta luar negara

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 bukan saja menjadi platform usahawan memperluas pasaran produk tetapi meningkatkan pengetahuan mengenai perkhidmatan yang berpotensi besar untuk diteroka.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Sertwo International Sdn Bhd, Nor Azwa Omar Jamli. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif Sertwo International Sdn Bhd berkata penyertaan syarikatnya yang menawarkan produk dan perkhidmatan sertu telah membuka peluang bertemu rakan perniagaan dalam pelbagai bidang.

“Ada yang selama ini tidak tahu pun mengenai potensi perkhidmatan ini, melalui penyertaan kami di Selhac mereka dapat pengetahuan itu malah ada syarikat yang sudah menawarkan peluang kerjasama,” kata Nor Azwa Omar Jamli kepada Selangorkini hari ini.

Sertwo International Sdn Bhd antara kira-kira 200 pempamer yang menyertai Selhac 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur  (WTCKL) di sini.

Nor Azwa berkata penyertaan syarikat itu dalam Selhac diharapkan meluaskan lagi rangkaian dan penawaran perkhidmatan di negara ini.

Pengasas Dinarz KT Empire Kaldina Kalam. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Perkhidmatan sertu dan halal sentiasa berkait rapat. Menerusi Selhac, kita harap kesedaran itu dapat disebar luas dan akhirnya industri ini terus berkembang. Penyertaan lebih ramai peserta luar negara juga membantu kita mempromosi pelbagai produk halal tempatan,” katanya.

Sementara itu, pengasas Dinarz KT Empire Kaldina Kalam berkata persidangan halal anjuran Kerajaan Negeri itu membantu mempromosi kebaikan produk kopi dan jus berasaskan ekstrak biji kurma.

“Melalui platform ini, kita cuba promosikan kepada pengunjung mengenai kebaikan ekstrak biji kurma kepada kesihatan. Jika mereka tidak beli hari ini mungkin hari lain. Apa yang penting kesedaran orang mengenai kebaikan produk yang kita tawarkan,” katanya.

Selhac 2023 menghimpun kira-kira 200 pempamer dari dalam dan luar negara antaranya Bangladesh, Australia, United Kingdom, Thailand, Vietnam dan Kanada.

Penganjuran selama tiga hari sehingga hari ini menyasarkan nilai padanan perniagaan sebanyak RM50 juta selain kehadiran lebih 8,000 pengunjung.

Selhac pertama kali dianjurkan Mac tahun lalu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) merekodkan transaksi sebanyak RM37.73 juta.

Pengasas Dinarz KT Empire Kaldina Kalam (kanan) menunjukkan produk yang dipamerkan di Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 12 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

 


Pengarang :