Tangkap layar rakaman video ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Ramadan dan program tadabbur al-Quran sehari satu ayat.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ganjaran besar menanti orang bersedekah, beri hutang (VIDEO)

SHAH ALAM, 12 APRIL: Allah SWT menjanjikan pahala yang besar buat hamba-Nya yang bersedekah lebih-lebih memberi hutang kepada mereka berdepan desakan hidup.

Menghuraikan ayat 245 Surah al-Baqarah yang dibaca Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Ustaz Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi berkata ganjaran itu berdasar kepayahan mendepani orang yang berhutang.

“Kalau orang yang meminta maka kita bersedekah, dia meminta apa yang kita ada tapi kalau orang yang minta hutang apabila dia sedang berhajat maka kita beri pinjam, ia lebih baik daripada beri sedekah.

“Mana lagi susah bagi sedekah dapat pahala atau bagi pinjam kemudian nak minta hutang?” kata pensyarah kanan Pusat Kajian al-Quran & al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau membuat huraian itu dalam program Tadabbur al-Quran anjuran Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor yang membaca satu ayat setiap hari sepanjang Ramadan.

Amirudin pula berkata ayat berkenaan bermaksud umat Islam memperoleh pahala dengan memberi hutang kerana ia memudahkan urusan orang lain.

“Biasa orang ingat ini (beri hutang) sebagai satu jual beli atau ganjaran pinjaman… begitu besar tugas kita sebagai umat Rasulullah dan sebagai hamba Allah,” katanya.

Dr Ahmad Fakhrurrazi menambah ganjaran itu merupakan salah satu kelebihan kita sebagai umat Nabi Muhammad dalam urusan harta.

“Ia sedarkan kita bertahan untuk menghadapi karenah manusia semasa berinteraksi dengan mereka itu, Allah janjikan ganjaran,” katanya.

Majlis bermula 23 Mac lalu dipancar melalui media sosial Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor.

Antara tadabbur yang boleh diikuti seperti berikut:

Episod satu – kepentingan infak harta
Episod dua – bersyukur bukti keimanan
Episod tiga – taubat kunci keampunan-Nya
Episod empat – taati ibu bapa
Episod lima – istiqamah dalam beramal
Episod enam – sifat amanah ketika memimpin
Episod tujuh – bina kasih dalam keluarga
Episod lapan – doa pakaian ummah
Episod sembilan – tuntut ilmu
Episod 10 – hidup harmoni masyarakat
Episod 11 – ujian pengukur iman
Episod 12 – akidah keturunan Nabi Yaakub
Episod 13 – pemimpin disayangi taat kepada Pencipta
Episod 14 – hikmah Ramadan, bentuk peribadi, disiplin
Episod 15 – peringatan bercakap benar
Episod 16 – hormat sesama manusia
Episod 17 – insan berakhlak mulia warisi alam
Episod 18 – jauhi munafik, harap kematian dalam Islam
Episod 19 – kesulitan dihadapi disertai kesenangan
Episod 20 – nikmat jadi umat Nabi Muhammad


Pengarang :