Tangkap layar rakaman video ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Ramadan dan program tadabbur al-Quran sehari satu ayat.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Alam diwaris buat insan berakhlak mulia, pegang teguh pada Islam (VIDEO)

SHAH ALAM, 8 APRIL: Umat Islam berakhlak mulia bakal mewarisi alam yang harmoni tanpa perpecahan justeru teguhkanlah keimanan pada Allah SWT.

Menghuraikan ayat lapan Surah Furqan yang dibaca Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid berkata Allah mengekalkan pewarisan bumi kepada insan yang terpilih.

“Gambaran ayat ini nak beritahu bumi diwariskan kepada orang-orang yang Dia nak iaitu orang yang sabar, berakhlak baik dan telus.

“Sebagai contoh Islam datang ke Sepanyol dalam keadaan berperang, sekarang mana ada Islam (di sana).. berbeza dengan Islam yang datang ke Tanah Melayu walaupun sudah seribu tahun tapi semua masih berpegang teguh pada ajaran Islam,” katanya.

Beliau membuat huraian itu dalam program Tadabbur al-Quran anjuran Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor yang membaca satu ayat setiap hari sepanjang Ramadan.

Amirudin pula menambah ajaran Islam menjadi menjadi kefahaman dan jalan kehidupan penganutnya di Malaysia yang kekal harmoni.

“Bila kita lihat kita menerima Islam pada masa Tanah Melayu dijajah, bukan satu penjajah… Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.

“Alhamdulillah majoriti umatnya masih lagi mengamalkan Islam sehingga hari ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Don Daniyal berkata ayat ini mengisahkan pengikut awal Nabi Muhammad SAW yang dituduh tidak siuman oleh musyrikin Mekah.

“Apalah sangat orang kata kita tak betul, nabi pun mereka kata tak siuman.

“… ketika orang merejam batu tapi nabi masih berdoa semoga (zuriat) yang keluar dari tulang sulbi mereka nanti adalah orang yang beriman. Luar biasa sabar nabi,” katanya.

Majlis bermula 23 Mac lalu dipancar melalui media sosial Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor.

Antara tadabbur yang boleh diikuti seperti berikut:

Episod satu – kepentingan infak harta
Episod dua – bersyukur bukti keimanan
Episod tiga – taubat kunci keampunan-Nya
Episod empat – taati ibu bapa
Episod lima – istiqamah dalam beramal
Episod enam – sifat amanah ketika memimpin
Episod tujuh – bina kasih dalam keluarga
Episod lapan – doa pakaian ummah
Episod sembilan – tuntut ilmu
Episod 10  – hidup harmoni masyarakat
Episod 11 – ujian pengukur iman
Episod 12 – akidah keturunan Nabi Yaakub
Episod 13 – pemimpin disayangi taat kepada Pencipta
Episod 14  – hikmah Ramadan, bentuk peribadi, disiplin
Episod 15 – peringatan bercakap benar
Episod 16 – hormat sesama manusia


Pengarang :