Tangkap layar rakaman video ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Ramadan dan program tadabbur al-Quran sehari satu ayat.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jauhi sifat munafik, harapkan kematian dalam Islam (VIDEO)

SHAH ALAM, 9 APRIL: Umat Islam wajib menjauhi sifat munafik selain bersedia menghadapi kematian dengan mengharap pengakhiran dalam agama yang benar.

Menghuraikan ayat 11 Surah al-Munafiqun yang dibaca Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid berkata balasan orang munafik nanti adalah dalam neraka paling bawah.

“Ia seolah-olah nak beritahu di atas muka bumi ini kamu boleh buat (munafik) esok tahulah apa yang Allah SWT nak bagi (balasan) sebab dia (orang munafik) akan merosakkan banyak perancangan.

“Dalam Perang Uhud, daripada 1,000 orang (tentera) tinggal 700, 300 lagi lari… habis perancangan Rasulullah. Siti Aishah (RA) berselisih dengan nabi pun sebab orang munafik,” katanya.

Beliau membuat huraian itu dalam program Tadabbur al-Quran anjuran Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor yang membaca satu ayat setiap hari sepanjang Ramadan.

Amirudin pula berkata umat Islam mesti sentiasa bersedia untuk menghadapi kematian selain menyeru agar menjauhi sifat atau kelompok munafik.

“Saya teringat satu ayat dalam Surah Yasin yang berbunyi ‘bagaimana indah kita bicara pun, semua akan jadi saksi’.

“Satu ingatan kepada kita sentiasa berlaku jujur, amanah dan menghindarkan diri daripada sifat yang sangat dibenci,” katanya.

Don Daniyal menambah kematian boleh berlaku tanpa mengira masa tanpa mengira usia, pangkat dan jantina.

“Ulama pernah berkata semua orang teringin masuk syurga tapi semua orang tak sedia untuk mati sedangkan mati pintu utama nak masuk syurga,” katanya.

Majlis bermula 23 Mac lalu dipancar melalui media sosial Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor.

Antara tadabbur yang boleh diikuti seperti berikut:

Episod satu – kepentingan infak harta
Episod dua – bersyukur bukti keimanan
Episod tiga – taubat kunci keampunan-Nya
Episod empat – taati ibu bapa
Episod lima – istiqamah dalam beramal
Episod enam – sifat amanah ketika memimpin
Episod tujuh – bina kasih dalam keluarga
Episod lapan – doa pakaian ummah
Episod sembilan – tuntut ilmu
Episod 10  – hidup harmoni masyarakat
Episod 11 – ujian pengukur iman
Episod 12 – akidah keturunan Nabi Yaakub
Episod 13 – pemimpin disayangi taat kepada Pencipta
Episod 14  – hikmah Ramadan, bentuk peribadi, disiplin
Episod 15 – peringatan bercakap benar
Episod 16 – hormat sesama manusia
Episod 17 – Insan berakhlak mulia warisi alam


Pengarang :