Tangkap layar rakaman video ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Ramadan dan program tadabbur al-Quran sehari satu ayat.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Teguhkan akidah, teladani kisah keturunan Nabi Yaakub (VIDEO)

SHAH ALAM, 3 APRIL: Kisah Nabi Yaakub AS yang bimbangkan pegangan akidah anak-anak sebelum kewafatan Baginda harus dijadikan contoh ibu bapa masa kini.

Menghuraikan ayat 133 Surah al-Baqarah yang dibaca Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid berkata iktibar daripada ayat tersebut adalah iman tidak dapat diwarisi.

“Nabi Yaakub ada 12 anak lelaki, maknanya Baginda bagi wasiat dekat anak-anak. Luar biasa bagaimana nabi yang anak-anaknya juga nabi tapi masih khuatir dengan iman.

“… sebelum wafat sebagai bapa, Baginda nak pastikan anak-anak mesti pegang akidah yang betul,” katanya.

Beliau membuat huraian itu dalam program Tadabbur al-Quran anjuran Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor yang membaca satu ayat setiap hari sepanjang Ramadan.

Amirudin pula berkata ayat tersebut merupakan satu ingatan yang memberi kesan besar kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak.

“Nabi Yaakub rasul pilihan yang melahirkan nabi dan rasul tapi masih menasihatkan mereka.

“Apatah lagi beberapa nabi yang juga telah diuji dengan anak-anak yang tidak mengikut jalan yang lurus contohnya Nabi Nuh (AS) dan Nabi Luth (AS),” katanya.

Memenuhi permintaan Amirudin yang meminta doa kekal beriman kepada Allah SWT, Don Daniyal berkongsi dua doa yang diamalkan Nabi Ibrahim AS dan satu daripada Nabi Zakaria AS.

Majlis bermula 23 Mac lalu dipancar melalui media sosial Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor.

Antara tadabbur yang boleh diikuti seperti berikut:

Episod satu – kepentingan infak harta
Episod dua – bersyukur bukti keimanan
Episod tiga – taubat kunci keampunan-Nya
Episod empat – taati ibu bapa
Episod lima – istiqamah dalam beramal
Episod enam – sifat amanah ketika memimpin
Episod tujuh – bina kasih dalam keluarga
Episod lapan – doa pakaian ummah
Episod sembilan  – tuntut ilmu
Episod 10 – hidup harmoni masyarakat
Episod 11 – ujian pengukur iman


Pengarang :