Tangkap layar rakaman video ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Ramadan dan program tadabbur al-Quran sehari satu ayat.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tasbih dan taubat kunci kejayaan, harap keampunan daripada-Nya (VIDEO)

SHAH ALAM, 25 MAC: Tiga perkara mendatangkan kejayaan seseorang iaitu bertasbih dengan memuji Allah SWT, meminta keampunan selain bertaubat kepada-Nya seperti yang termaktub dalam al-Quran.

Mengupas ayat satu hingga tiga surah al-Nasr yang dibaca Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Ustaz Roslan Mohamed berkata saranan yang diberi itu jelas agar kejayaan seseorang itu diberkati dan diredhai Allah.

“Dalam kuasa dan pemerintahan, ingat semua datang daripada Allah. Kita usaha tapi jika Allah tidak menangkan, kita tidak akan menang.

“Taubat adalah pakaian mukmin, kita jangan angkuh. Orang mukmin siapa pun kita, kita akan balik kepada Allah. Hati bersih, jiwa tenang hidup akan diberkati,” kata bekas pensyarah kanan Universiti Malaya itu.

Huraian tersebut dibuat beliau dalam program Tadabbur al-Quran anjuran Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor yang akan membaca satu ayat setiap hari sepanjang sambutan Ramadan.

Amirudin yang turut mengulas ayat berkenaan berkata kejayaan seseorang bukanlah datang daripada dirinya semata-mata kerana manusia sering melakukan kesilapan.

“Saya percaya Allah juga mengingatkan bahawa dalam kehidupan manusia biasanya kita akan berdepan dengan kesilapan, membuat dosa sama ada kecil atau besar tetapi sesungguhnya Allah maha penerima taubat,” katanya.

Majlis bermula kelmarin dipancar melalui media sosial Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor. Episod satu yang menyentuh kepentingan infak sebahagian harta manakala episod dua kepentingan bersyukur sebagai bukti keimanan.


Pengarang :