Noraini Jusoh menunjukkan atap rumah tradisional, singhora yang diperbuat daripada tanah liat dalam temubual pada 2 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Cuaca panas beri kesan penghasilan atap daripada tanah liat

BACHOK, 26 MEI: Cuaca panas yang dialami dalam negara ketika ini turut memberi kesan kepada pengusaha tunggal atap tradisional yang diperbuat daripada kepingan tanah liat, atau dikenali sebagai atap singhora, di Kampung Pengkalan Baru, di sini.

Pemilik perusahaan itu Noraini Jusoh, 57, berkata atap singhora siap dihasilkan menggunakan acuan kayu akan diletakkan di atas tanah untuk dijemur terlebih dahulu sebelum proses membakar, namun disebabkan cuaca cuaca panas yang agak melampau ketika ini, banyak atap yang dijemur terus retak.

“Tahun ini cuaca sangat panas, dua tiga tahun sebelum ini perkara ini tidak pula berlaku,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

Noraini atau mesra disapa sebagai Kak Ani merupakan pengusaha tunggal atap singhora yang juga dikenali sebagai atap bata, yakni kepingan tanah liat berukuran kira-kira 12.4cm X 12.7cm dijual pada harga RM1 sekeping, yang perlu melalui beberapa proses seperti menguli, membentuk, menjemur dan membakar sebelum siap untuk dijual.

Katanya biarpun berdepan cabaran menghasilkan atap singhora dalam keadaan cuaca panas, pengalaman puluhan tahun bermain dengan tanah liat memberi beliau kelebihan mengatasi masalah itu.

“Ada atap singhora yang rosak dalam proses menjemur tetapi peratus agak rendah. Sekarang saya ada pilihan iaitu jemur dalam bengkel/bangsal. Proses membuat atap bata ini perlu pengeringan air secara beransur-ansur kalau jemur dalam bengkel/bangsal pengeringan air akan keluar perlahan dengan tidak mengejut.

“Kalau letak (jemur) bawah cahaya matahari dengan suhu sekarang air akan keluar mengejut, bila keluar mengejut menyebabkan atap bata retak,” katanya.

Ditanya mengenai permintaan terhadap atap singhora, Kak Ani yang menerima Anugerah Adiguru Kraftangan 2021 berkata tempahan yang diterimanya masih tinggi sehingga beliau tidak dapat memenuhi permintaan semua pelanggan.

“Ketika ini saya dibantu lapan orang yang terdiri daripada saudara mara serta beberapa orang pekerja menghasilkan atap singhora tempahan pelanggan.

“Tempahan banyak, tetapi Kak Ani tak dapat capai sebab kekangan pekerja, dahulu dalam tempoh tiga bulan saya boleh keluarkan 60,000 keping atap singhora namun kini hanya 40,000 keping bergantung kepada keadaan cuaca dan mood pekerja,” katanya yang pernah menerima Anugerah Tukang Uluang 2014.

-BERNAMA


Pengarang :