PETALING JAYA, 24 MEI: Kerajaan Negeri mengemuka cadangan penubuhan “one stop centre” untuk membimbing usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mendapat khidmat nasihat bagi memperoleh sijil halal lebih mudah.
Susulan itu, EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
“Ramai beranggapan nak dapat persijilan halal ini agak susah. Tetapi itu hanya persepsi, mungkin mereka tidak tahu di mana nak pergi dan siapa nak jumpa untuk dapatkan khidmat nasihat.
“Jadi kerajaan negeri akan mencadangkan Jais untuk membuat sebuah ‘one stop centre’ supaya usahawan boleh terus mendapatkan khidmat nasihat bagi memudahkan mereka mendapatkan perkhimatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Kursus Persediaan Persijilan Halal Hijrah Selangor 2023 di Hotel Tabung Haji, Kelana Jaya di sini hari ini.
Rodziah juga berharap cadangan tersebut dapat dilaksana secepat mungkin untuk memberi ruang kepada usahawan menerokai industri halal.
“Hasrat saya dalam tempoh hingga dua dan tiga bulan untuk peroleh sijil halal ini dengan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya.