Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan memulakan kempen Piala Remaja Asia 2023 dengan bergaya selepas membelasah Uzbekistan 8-1 pada aksi pembukaan Kumpulan B di Salalah, Oman pada 24 Mei 2023. Foto Facebook Malaysian Hockey Confederation
AGENDASUKANKINI

Piala Remaja Asia: Skuad hoki negara belasah Uzbekistan 8-1

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan memulakan kempen Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 dengan bergaya selepas membelasah Uzbekistan 8-1 pada aksi pembukaan Kumpulan B di Salalah, Oman.

Pada aksi di Kompleks Belia Sultan Qaboos, skuad muda negara bimbingan Muhamad Amin Rahim mudah mendahului 3-0 di suku pertama menerusi penyudah pukulan sudut penalti T. Perabu pada minit ketujuh dan kesembilan diikuti gol ketiga hasil jaringan padang Alfarico Lance Liau Jr pada minit ke-12.

Perabu menikmati malam cemerlangnya dengan mencipta hatrik apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-18 untuk gol keempat negara sebelum Shahmie Irfan Suhaimi dan Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar menjadikan kedudukan 6-0 selepas masing-masing meledak gol padang pada minit ke-26 dan pukulan sudut penalti seminit kemudian.

Dua jaringan padang oleh Mughni Mohamad Kamal dan Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari masing-masing pada suku terakhir permainan menambah derita pasukan lawan sebelum mereka berjaya memperoleh gol sagu hati menerusi Shavkatjon Kakhramonov lima minit sebelum perlawanan tamat.

Mengulas mengenai kejayaan 8-1 diraih pasukan remaja kebangsaan, Muhamad Amin berkata anak buahnya berjaya tampil dengan aksi yang baik untuk mengutip tiga mata pertama dan berharap semua pemain terus kekal fokus menjelang aksi kedua menentang Bangladesh, esok.

“Esok (hari ini) kami berehat dan kami akan menggunakannya untuk menganalisis kelemahan dan kekuatan pasukan, selain mengkaji kelemahan dan kekuatan pasukan Bangladesh sebagai persediaan kami untuk bertemu mereka pada aksi kedua,” katanya dalam kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Skuad remaja negara akan menentang Korea Selatan pada 27 Mei dan menutup saingan kumpulan bertemu Oman (29 Mei) dengan harapan berjaya menduduki dua posisi teratas untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Malaysia melakar sejarah apabila muncul juara Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia buat julung kali pada 2012 sekali gus menamatkan penantian 20 tahun untuk merangkul kejuaraan itu selepas mengalahkan Pakistan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Bukit Serindit, Melaka.

— BERNAMA


Pengarang :