Rosni Zakariah (kanan) bersama anaknya Syawalieya Samsul Bahar melihat gambar yang diambil bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di gerainya di Kampung Sungai Machang, Semenyih pada 2 Jun 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dua dekad berniaga, ibu tunggal teruja sedia juadah buat PM

OLEH SHAMZ JOHAN

KAJANG, 3 JUN: Pemilik gerai nasi campur di Kampung Sungai Machang, Semenyih teruja menerima kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum menunaikan solat Jumaat semalam.

Rosni Zakariah, 63, berkata kunjungan pemimpin nombor satu negara ke Warong Belado Kak Ani satu pengiktirafan buatnya yang mengusahakan perniagaan di kawasan itu lebih 22 tahun.

“Memang rasa teruja dan bangga dapat masak juadah untuk perdana menteri. Bagi saya, ini pencapaian paling tinggi dan berharga selama lebih 22 tahun berniaga,” kata ibu tunggal itu.

Menurutnya, gerai yang menyediakan masakan kampung dan pemanis mulut dijalankan bersama anak ketiga Syawalieya Samsul Bahar, 38, selepas berpisah dengan suaminya.

Rosni menjelaskan nama ‘Belado’ diambil bersempena masakan pedasnya yang terkenal dalam kalangan penduduk Semenyih seperti sambal belado ikan talapia dan sambal tempoyak ikan bilis petai.

Semalam, perdana menteri meluangkan masa menikmati makan tengah hari bersama pemimpin setempat sebelum bersolat di Masjid Raja Muda Musa, Pekan Semenyih.

 


Pengarang :