Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Sabirin Mohd Sarbini (dua, kiri)dan Mufti Selangor Dato’ Setia Prof Madya Dr Anhar Opir (tiga, kiri) pada Program Simbolik Bantuan Agihan Pendidikan 2024 di Pusat Konvensyen Bangi, Hulu Langat pada 8 Februari 2024. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
PENDAPATRENCANA

Bantuan pendidikan LZS bawa anak asnaf ke menara gading

Oleh Mohd Sabirin Mohd Sarbini

Setelah tiga dekad beroperasi, Lembaga Zakat Selangor (LZS) selaku pemegang amanah dalam pengurusan zakat komited menguruskan dan memanfaatkan potensi kutipan dan agihan dengan efisien, efektif dan berkualiti selaras tuntutan syarak.

Tumpuan utama LZS antaranya memastikan generasi kedua sebagai generasi cemerlang melalui agenda pembangunan pendidikan. Ekosistem bantuan pendidikan disediakan bagi memastikan tiada anak-anak asnaf Selangor tercicir daripada peluang menerima pendidikan sebaiknya.

LZS melihat ke hadapan untuk memastikan anak-anak asnaf fakir dan miskin dan muallaf atau asnaf fisabilillah terus diberi peluang untuk menuntut ilmu sehingga mencapai kejayaan.

Kejayaan itu nanti bukan sahaja akan mengubah kehidupan keluarga menjadi lebih baik, bahkan mampu menjadi kebanggaan ummah.


Sudah tiba masa yang dinanti-nantikan. Pada ketika artikel ini ditulis, pelajar Tingkatan Lima
calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 sedang bergelut menjawab kertas soalan peperiksaan.

Hal ini pastilah mengimbau kenangan penulis sewaktu menduduki SPM, suatu ketika dahulu. Debaran, kebimbangan, keresahan, bukan sahaja menguasai calon peperiksaan, bahkan ibu bapa turut diselubungi perasaan resah gelisah memikirkan si anak.

Begitu juga apa yang kami rasa di LZS. Kami sentiasa mendoakan yang terbaik buat anak-anak kami penghuni Bait al Hasanah dan pelajar asnaf fakir miskin yang menerima bantuan pendidikan zakat.

Bait al-Hasanah

“Saya bercita-cita untuk bantu LZS mengurangkan jumlah asnaf fakir dan miskin di Selangor!”

Itu cita-cita murni saudara Safwan, seorang alumni Bait al-Hasanah. Safwan pernah menjadi penghuni asrama Bait al-Hasanah selama tujuh tahun sejak berusia 11 tahun. Dia juga merupakan seorang graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) jurusan Sarjana Muda Kewangan Islam.

Anak-anak yang menerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengulang kaji pelajaran di Bait al-Hasanah. Foto ihsan LZS

Kini dia berkhidmat dalam sektor kewangan serta menjadi salah seorang ahli keluarga yang menyara kehidupan adik-adiknya. Melalui kariernya sekarang, dia mahu jadikan ia sebagai tapak asas untuk kembali menyumbang kepada golongan masyarakat yang memerlukan.

Kisah saudara Safwan dibesarkan dengan kesukaran hidup, kemudian berpeluang menjadi penghuni Bait al-Hasanah merupakan salah satu kisah kejayaan.

Kami di LZS terus berusaha memastikan tiada asnaf terlepas peluang dan berikhtiar untuk meningkatkan lagi kutipan zakat agar lebih banyak peluang dapat diberikan kepada anak-anak ini.

Bertepatan dengan penubuhannya, Bait al-Hasanah, sebuah asrama dilengkapi pelbagai kemudahan pelajar sekolah rendah dan menengah ditubuhkan pada 2007 bertujuan menjaga dan membangunkan potensi anak-anak asnaf berumur 10 hingga 17 tahun.

LZS cukup faham cabaran dialami ibu bapa mereka yang berhempas-pulas menjadikan kehidupan lebih baik. Pada masa sama bertanggungjawab membesarkan anak-anak dengan memastikan mereka menerima
pendidikan sempurna.

Ia bukan suatu tugas yang mudah. Justeru, LZS melihat keperluan mewujudkan sebuah asrama yang menempatkan sejumlah anak-anak asnaf untuk memastikan mereka menerima pendidikan sewajarnya sebagaimana kanak-kanak dan remaja lain.

Pada 2020, Bait al-Hasanah membina satu modul khas iaitu Modul Kecemerlangan Pelajar Bait al-Hasanah merangkumi elemen Sahsiah, Akademik dan Kepemimpinan, bertujuan melibatkan murid-murid dalam aktiviti kemasyarakatan.

Bait al-Hasanah umpama rumah kedua buat anak-anak asnaf yang menjadi penghuninya. Pada 2022, seramai 16 orang pelajar Bait al Hasanah menduduki SPM dan seorang daripadanya mendapat keputusan 5A, seorang mendapat 4A, dua orang mendapat 3A dan semua calon lulus 100 peratus SPM.

Betapa pentingnya Bait al-Hasanah sebagai peluang baharu buat anak-anak asnaf fakir dan miskin.

Penerima bantuan pendidikan

Selain daripada penghuni di Bait al-Hasanah, LZS turut memberi bantuan pendidikan kepada pelajar yang sedang menuntut ilmu di pelbagai sekolah, baik di Selangor ataupun di luar Selangor, selagi mana mereka adalah pemastautin di Selangor bawah peruntukan asnaf fisabilillah.

Pada 2022, seramai 5,792 orang pelajar yang menduduki SPM adalah penerima zakat Selangor. Daripada jumlah itu, seramai 509 orang pelajar atau 8.7 peratus, mendapat keputusan SPM 5A ke atas, di mana 42 orang memperoleh 9A, 6 orang 10 A, dan 4 orang memperoleh 11A.

Pencapaian sedemikian rupa pastinya membangkitkan rasa keterujaan kepada kami untuk menunjukkan kepada masyarakat di luar sana: “Lihat! Jika kanak-kanak diberi peluang, mereka boleh berjaya!”

Penerima bantuan bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Mufti Selangor Dato’ Setia Prof Madya Dr Anhar Opir pada Program Simbolik Bantuan Agihan Pendidikan 2024 di Pusat Konvensyen Bangi, Hulu Langat pada 8 Februari 2024. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Seperti tahun-tahun yang lalu, bagi menghargai pencapaian dan berkongsi rasa bangga atas kejayaan mereka, LZS telah menganjurkan Majlis Anugerah Cemerlang Asnaf 2023 pada 3 Disember 2023.

Adik Nurul Hafizah Khairuddin, Nur Afifah Nabilah Ibrahim, Kamelia Razman dan Nurqistina Aini Ruslan; masing-masing mendapat keputusan cemerlang dalam SPM adalah contoh teladan buat penuntut ilmu di luar sana.

Mereka antara pelajar SPM yang menunjukkan kecemerlangan dalam pencapaian akademik.

Penulis masih ingat lagi, momen ketika nama-nama penerima anugerah disebut naik ke pentas, turut kelihatan wajah manis ibu bapa dan penjaga mereka yang pastinya berbangga dengan pencapaian si anak.

Ekosistem bantuan pendidikan LZS

Pada 2022, lebih daripada RM150 juta wang zakat telah diagihkan bagi pembangunan pendidikan.

Di LZS, kami percaya pendidikan merupakan kaedah perubahan yang amat penting. Kami akui proses perubahan melalui pendidikan ini akan mengambil masa agak panjang untuk dilihat impaknya.

Namun, kami percaya perubahan melalui jalan pendidikan akan memberi natijah kebaikan berpanjangan buat diri dan keluarga mereka.

Oleh itu, ekosistem bantuan pendidikan yang disediakan LZS kepada asnaf bersifat menyeluruh. Sebagai contoh, sekiranya seseorang anak asnaf fakir dan miskin sama ada yang menjadi penghuni Baitul Hasanah atau tidak, mereka akan menerima bantuan untuk persekolahan, kemudahan asrama, duit belanja persekolahan, makanan, dan lain-lain yang dinamakan biasiswa kecil.

Setelah selesai sekolah dan mahu lanjutkan pelajaran, mereka boleh memohon untuk Bantuan Dermasiswa Pengajian Tinggi. Setelah itu, LZS juga boleh membantu mereka mencari peluang pekerjaan melalui program kerjaya yang dianjurkan oleh LZS seperti iKerjaya, Kem Bangkit Kerja dan Ready2Hire.

Bahkan sebelum program kerjaya berlangsung, LZS turut menganjurkan bengkel khusus buat penemuduga dalam aspek mempersiapkan resume dan penampilan sewaktu ditemu duga.

SPM pengukur intelek, pengalaman bersekolah pengukur sahsiah dan kepimpinan kembali kepada anak-anak yang menduduki SPM. Kita perlu akui bahawa SPM bukan segala-galanya, namun ia amat penting menjadi penanda aras perkembangan intelek seseorang murid.

Keberadaan mereka di alam persekolahan seharusnya mampu mendidik dri mereka menjadi insan yang baik dan warganegara yang bertanggungjawab, bercita-cita tinggi, dan mampu menjadi pemimpin keluarga dan masyarakat suatu hari nanti.

LZS melihat ke hadapan untuk memastikan anak-anak asnaf fakir dan miskin dan muallaf atau asnaf fisabilillah terus diberi peluang untuk menuntut ilmu sehingga mencapai kejayaan.

Kejayaan itu nanti bukan sahaja akan mengubah kehidupan keluarga menjadi lebih baik, bahkan mampu menjadi kebanggaan ummah.

Kerana pada akhirnya, kita berharap supaya mereka pula akan menunaikan zakat untuk dimanfaatkan oleh lebih ramai asnaf di luar sana yang memerlukan peluang sebagaimana mereka pernah terima sebelum ini.

*Penulis merupakan ketua pegawai eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS)


Pengarang :