Ibu kepada kembar Palestin Wesam dan Naeem Abu Anza, yang dilahirkan semasa konflik antara Israel dan Hamas memeluk erat jenazah anaknya yang terbunuh dalam serangan itu di Rafah, Semenanjung Gaza pada 3 Mac 2024. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

80 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan terbaharu Israel di Gaza

ISTANBUL, 16 MAC: Sekurang-kurangnya 80 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan semalaman Israel ke atas Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu.

Laporan media di Gaza menyatakan bahawa Israel terus menyerang pelbagai bahagian di wilayah terkepung itu, termasuk Kem Pelarian Nusairat dan Bandaraya Gaza.

Serangan itu mengakibatkan ramai penduduk cedera dalam serangan yang menyasarkan rumah dan bangunan awam.

Tentera Israel mengebom sebuah rumah di jalan al-Jala menyebabkan ramai penduduk terperangkap di bawah runtuhan.

Serangan itu juga memusnahkan sebuah bangunan tujuh tingkat berhampiran Hospital al-Shifa di Bandaraya Gaza, mengakibatkan kematian berpuluh-puluh penduduk, dengan lebih ramai lagi terperangkap di bawah runtuhan.

Pasukan pertahanan awam Palestin mengeluarkan lima mayat penduduk daripada runtuhan bangunan itu manakala usaha menyelamat lain masih diteruskan.

Sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan ke atas sebuah rumah di kawasan perumahan Tuffah di Bandaraya Gaza.

Menurut Pejabat Media kerajaan Gaza, ramai penduduk terbunuh apabila tentera Israel mengebom sebuah rumah di kawasan perumahan Nasr.

Tentera rejim juga menyerang sebuah rumah di Kem Pelarian Nusairat, membunuh sekurang-kurangnya 36 rakyat Palestin.

Sejak 7 Oktpber lepas, sekurang-kurangnya 31,490 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak telah terbunuh di Gaza manakala 73,439 lagi cedera dalam serangan berterusan Israel.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :