Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan dron membuat pemantauan di sempadan negara selain melihat pergerakan lalu lintas terutama di lebuh raya. Foto Facebook BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Dron temukan tiga guni putih ganja di pagar sempadan Malaysia-Thailand

KANGAR, 29 APRIL: Ganja seberat 30 kilogram dianggar bernilai RM93,000 dirampas di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dekat Chuping, Padang Besar, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Perlis SAC Baderulhisham Baharudin berkata rampasan dilakukan selepas Pasukan Gerakan Udara yang membuat pemantauan menggunakan dron di kawasan terbabit mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda mencurigakan di laluan pagar keselamatan sebelah Thailand.

“Bertindak atas maklumat itu, Pasukan Gerakan Am pergi ke kawasan berkenaan dan menjumpai tiga guni putih di dalamnya berisi 30 ketulan mampat bersalut kerajang aluminium disyaki mengandungi dadah jenis ganja.

“Dadah yang dirampas boleh digunakan 150,000 penagih,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, beliau berkata polis menahan lelaki tempatan berusia 20 tahun dan merampas 1,020 kilogram daun ketum di Kampung Wang Kelian, Jalan Kaki Bukit, Sabtu lalu.

Menurut Baderulhisham, lelaki itu ditahan pada 2.30 petang ketika memasukkan bungkusan guni dipercayai mengandungi daun ketum ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda bernombor pendaftaran Thailand.

“Hasil pemeriksaan, polis menemukan 30 guni di dalamnya berisi daun disyaki daun ketum yang keseluruhan seberat 1,020 kilogram bernilai RM10,200,” katanya.

Beliau berkata lelaki itu yang positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah direman tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

– BERNAMA


Pengarang :