Penduduk berhampiran Sungai Golok, Rantau Panjang melakukan aktiviti harian seperti biasa meskipun paras air sungai itu menunjukkan trend meningkat pada paras bahaya iaitu 10.30 meter setakat 7 petang pada 2 Disember 2023. Foto Facebook BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Empat anggota keselamatan Thailand cedera akibat letupan bom di Sungai Golok

KOTA BHARU, 29 APRIL: Empat anggota keselamatan Thailand cedera apabila terkena letupan bom yang dipercayai diletakkan penjenayah di Kampung Pasemas, Sungai Golok, Thailand, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Golok Pol Col Jadsadavit Inprapan berkata kejadian berlaku 12.05 tengah malam, ketika anggota berkenaan dalam perjalanan melaksanakan tugas keselamatan di pekan Sungai Golok dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda.

Beliau berkata polis mengesyaki penjenayah menanam bom di laluan kenderaan anggota keselamatan berkenaan.

“Ketika tiba di simpang tiga berdekatan pangkalan, berlaku letupan dan penyerang turut menembak menggunakan pistol. Anggota keselamatan membalas tembakan itu sebelum penyerang melarikan diri,” katanya hari ini.

Empat anggota yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Sungai Golok bagi mendapatkan rawatan.

Jadsadavit berkata hasil siasatan awal di tempat kejadian polis menemukan sebuah kenderaan model sedan berwarna putih yang mempunyai nombor plat negara jiran.

Beliau berkata susulan kejadian pihak keselamatan Thailand memperketatkan kawalan di sempadan bagi mengelak pergerakan penjenayah secara bebas di sekitar kawasan itu.

Pagi tadi Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memberitahu polis telah meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand susulan insiden letupan bom dan bunyi tembakan yang dipercayai datang dari sekitar kawasan Gualosira, Pasemas daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat awal hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :