Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Kawalan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand ditingkatkan susulan insiden letupan bom

KOTA BHARU, 29 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand susulan insiden letupan bom dan bunyi tembakan yang dipercayai berlaku di kawasan Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat awal hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata PDRM juga pada masa sama akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand.

Beliau berkata hubungan bilateral PDRM dengan pihak berkuasa Thailand amat baik terutama melibatkan isu persempadanan negara.

“Keselamatan penduduk yang menetap di kawasan berhampiran sempadan negara perlu diutamakan termasuklah keselamatan anggota PDRM yang bertugas di kawasan berkenaan,” katanya hari ini.

Razarudin berkata semua Ketua Polis Negeri terutama Kelantan, Perlis, Kedah dan Perak diminta bersiap-siaga berhubung insiden berkenaan.

Sementara itu, Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Sheik Azhar Sheik Omar berkata pihaknya berada dalam keadaan siap-siaga termasuk melakukan rondaan jalan kaki dan bermotosikal sepanjang 16 pos statik pasukan itu.

“Pihak kami menjangkakan kejadian berkenaan berlaku di sebelah Thailand di sempadan kawasan Rantau Panjang.

“Secara proaktifnya, kami mempunyai 16 pos statik di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pos Ibrahim Pencen hingga ke Pos Ular di Pengkalan Kubor, Tumpat,” katanya.

Beliau berkata pasukan sekatan jalan raya turut digerakkan dengan enam anggota yang dijalankan secara berterusan dengan pemantauan bermula dari 6 pagi tadi secara fokus manakala tindakan selanjutnya bergantung kepada arahan ketua polis negeri.

Terdahulu, tular klip video berkait insiden berkenaan selepas dimuat naik penduduk tempatan menerusi laman sosial.

– BERNAMA


Pengarang :