Perkhidmatan ECRL akan menghubungkan negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan Lembah Klang. Foto Facebook ECRL
AGENDANASIONAL

ECRL: Kerja gali kubur Selat Klang ditangguh, beri penjelasan pada waris

SHAH ALAM, 30 APRIL: Kerja penggalian dan pemindahan 90 lot kubur Islam di Klang yang dijadual esok bagi menjalankan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ditangguh seminggu lagi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penangguhan itu bertujuan memberi ruang kepada sebahagian lagi waris mendengar penjelasan lanjut berhubung perkara tersebut.

“Tadi kita bincang di sana. Jadi, kita tangguh seminggu lagi untuk memberi ruang kepada 45 lagi keluarga yang belum datang dalam proses pemakluman sebelum ini.

“Ini penting untuk kita menguruskan bantahan dan sebagainya termasuk perubahan di situ,” katanya ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin berkata landasan ECRL perlu mengikut pelan pembangunan asal iaitu tidak boleh bengkang-bengkok sesuka hati bagi mengelak perubahan lebih besar jika dialih.

“Sebab itu kita seboleh mungkin mengekalkan tetapi hukum dan sebagainya tiada masalah. Saya rasa ada (penjelasan) mufti dan aturannya bagaimana memindah (lot kubur). Cuma kena beri penerangan kepada wakil waris,” katanya.

Laluan ECRL di negeri ini melibatkan jajaran sepanjang 90.72km melalui daerah Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Klang selain melalui sebahagian kesan tanah perkuburan Selat Klang.


Pengarang :