Tangkap layar rakaman video ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Ramadan dan program tadabbur al-Quran sehari satu ayat.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Seru umat Islam jaga alam, bertaubat kepada-Nya (VIDEO)

SHAH ALAM, 13 APRIL: Umat Islam diajar sentiasa bertaubat apabila melakukan kemungkaran malahan mengajak manusia lain memelihara bumi daripada kerosakan.

Menghuraikan ayat 41 Surah ar-Rum yang dibaca Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Ustaz Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi berkata masyarakat juga perlu diseru untuk menghargai alam sekitar.

“Ayat ini bukan nak fokus pada kerosakan dan manusia yang buat perlakuan yang menyimpang daripada pedoman Ilahi tetapi fokus kepada bertaubat dan kembali kepada Allah.

“Bila kita faham, kita tidak akan fokus salahkan orang tapi fokus pada apa yang kita perlu lakukan dan apa yang perlu kita seru pada masyarakat untuk menangani dan menghadapi kerosakan yang ada,” kata pensyarah kanan Pusat Kajian al-Quran & al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau membuat huraian itu dalam program Tadabbur al-Quran anjuran Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor yang membaca satu ayat setiap hari sepanjang Ramadan.

Amirudin pula berkata Allah SWT adalah sebaik-baik Pencipta apabila Dia berhajat menjadikan manusia sebagai pentadbir bumi.

“Saya teringat kepada ayat yang menceritakan Allah menyatakan kesediaan menurunkan manusia sebagai khalifah di bumi, lalu malaikat mengatakan bahawa manusia ini akan membuat kerosakan dan pertumpahan darah.

“Lalu Allah berfirman Dia tahu apa yang terbaik dan yang benar,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Fakhrurrazi berkata manusia tidak disuruh untuk mengubah takdir sebaliknya menghadapi kerosakan yang berlaku di muka bumi.

“Yang ditakdirkan adalah bagaimana kita tabah, syukur, redha dan tawakal untuk kita berhadapan dengan plot takdir.

“Lagi banyak kerosakan kita hadapi dan kita pandang, bermaksud lebih menyentuh keinsafan untuk kita kembali kepada Allah,” katanya.

Majlis bermula 23 Mac lalu dipancar melalui media sosial Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor.

Antara tadabbur yang boleh diikuti seperti berikut:

Episod satu – kepentingan infak harta
Episod dua – bersyukur bukti keimanan
Episod tiga – taubat kunci keampunan-Nya
Episod empat – taati ibu bapa
Episod lima – istiqamah dalam beramal
Episod enam – sifat amanah ketika memimpin
Episod tujuh – bina kasih dalam keluarga
Episod lapan – doa pakaian ummah
Episod sembilan – tuntut ilmu
Episod 10 – hidup harmoni masyarakat
Episod 11 – ujian pengukur iman
Episod 12 – akidah keturunan Nabi Yaakub
Episod 13 – pemimpin disayangi taat kepada Pencipta
Episod 14 – hikmah Ramadan, bentuk peribadi, disiplin
Episod 15 – peringatan bercakap benar
Episod 16 – hormat sesama manusia
Episod 17 – insan berakhlak mulia warisi alam
Episod 18 – jauhi munafik, harap kematian dalam Islam
Episod 19 – kesulitan dihadapi disertai kesenangan
Episod 20 – nikmat jadi umat Nabi Muhammad
Episod 21 – ganjaran bersedekah, beri hutang


Pengarang :