NASIONAL

1,360 mangsa banjir Johor di 13 PPS

OLEH SABIRAH AZIZ

JOHOR BAHRU, 15 JAN: Angka mangsa banjir yang masih berada di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) negeri ini menurun sedikit pada pagi ini iaitu daripada 1,361 orang pada malam tadi kepada 1,360.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangannya, Datuk Ayub Rahmat berkata, 103 mangsa daripada 22 keluarga berada di empat PPS di Segamat, 1,225 mangsa daripada 342 keluarga pula di lapan PPS di Mersing dan 32 mangsa daripada tujuh keluarga di sebuah PPS di Kota Tinggi, setakat 8 pagi tadi.

Di Segamat, penduduk terjejas adalah dari Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Pogoh Tengah dan Kampung Tekam manakala di Mersing pula melibatkan Kampung Tenglu Besar, Kampung Air Papan, Kampung Baru Jemari, Kampung Sungai Muka Dua, Kampung Orang Asli Labong, Kampung Air Merah dan Kampung Benaung.

Di Kota Tinggi, penduduk terlibat banjir adalah dari Kampung Perepat, katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata setakat ini, dua keluarga dari Kampung Batu 7 Jementah, Segamat dan 183 keluarga dari Kampung Peroh, Kampung Pucor, Kampung Sedohok serta Kampung Berasau di Kluang juga terputus hubungan akibat bencana berkenaan.

Kejadian ini turut mengakibatkan jalan persekutuan menghubungkan Johor Bahru ke Kuantan, Pahang serta jalan negeri menghubungkan Telok Arong ke Tanjung Resang, Endau dan Penyabong ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan akibat runtuhan cerun dan tanah mendap.

Sebagai alternatif, orang ramai yang ingin ke Mersing atau Kuantan, atau dari Mersing hendak ke Johor Bahru dinasihatkan agar menggunakan Jalan Jemaluang- Nitar Utama, sementara untuk ke Tanjung Resang, Endau dan Penyabong menggunakan Jalan Tanjung Resang-Jalan Mersing/Endau-Jalan Air Papan.


Pengarang :