EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia melantun pagi ini

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pagi ini dengan minat belian baharu dalam saham utama terpilih, di tengah permulaan bercampur pasaran serantau, kata peniaga.

Memetik BERNAMA, pada jam 9.10 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,824.10, naik 2.50 mata, daripada 1,821.60 penutup semalam.

Ia dibuka 1.79 mata lebih tinggi, pada 1,823.39.

Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 142 berbanding 121, manakala 211 tidak berubah, 1,386 tidak didagangkan dan 33 yang lain digantung.

Sejumlah 190.75 juta saham bertukar tangan bernilai RM86.95 juta.

Kenanga Research menjangka penanda aras itu bergerak ke arah paras halangan 1,840 mata dan 1,866 mata, manakala kelemahan jangka pendek lain lebih bersifat sementara.

“Sokongan sementara dilihat pada paras psikologi 1,800 mata dan 1,793 mata, yang mana pelabur boleh meninjau untuk membeli ketika harga jatuh,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Maybank mendatar pada RM9.86, Public Bank susut dua sen kepada RM20.86, manakala TNB naik 12 sen kepada RM15.72, dengan Petronas Chemicals dan CIMB Bank menokok dua sen setiap satu masing-masing kepada RM8.19 dan RM6.82.


Pengarang :