SELANGOR

KISS bantu, GST miskinkan rakyat

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 23 JAN: Pelaksanaan program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) tepat pada masanya tatkala ekonomi semakin tenat, pada masa kini.

Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, KISS mendapat sambutan luar jangkaan ekoran ramai dalam kalangan penerima skim berkenaan dibelenggu kos sara hidup tinggi.

Katanya, situasi itu berbeza dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan Kerajaan Persekutuan yang menyebabkan semakin ramai rakyat menjadi papa kedana.

“Semuanya berpunca daripada pelaksanaan GST menjadikan harga barangan semakin tinggi dan rakyat terhimpit dengan bebanan membeli barang keperluan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran KISS, di Padang Awam Kampung Permatang, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Suee Lim berkata, pemotongan subsidi oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional turut menjadikan harga barangan keperluan meningkat mendadak.

Menyedari hakikat itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri tampil prihatin dengan nasib rakyat yang terhimpit menerusi pelaksanaan KISS tanpa mengenakan sebarang cukai mahupun potongan subsidi.

“Inilah beza seperti langit dan bumi antara Kerajaan Negeri yang dipimpin di bawah parti Pakatan Harapan (PAKATAN) dengan kerajaan yang dipimpin BN membantu rakyatnya,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan golongan wanita, di negeri ini terus menwar-warkan KISS supaya rakyat dapat menikmati hasil Kerajaan Negeri.

“Untuk keluarga di zon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan, RM200 sebulan untuk perbelanjaan membeli barangan dapur sudah cukup, malah dapat meringankan beban mereka,” katanya.

KISS dikhususkan kepada wanita berpendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah yang melayakkan mereka mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung juga pakaian sekolah di pasar raya serta kedai runcit terpilih.


Pengarang :