GLOBAL

Korban demam kuning di Brazil catat peningkatan

RIO DE JANEIRO, 25 JAN: Kementerian Kesihatan Brazil mengesahkan jumlah kematian akibat demam kuning di tenggara negara itu meningkat kepada 53 orang, lapor agensi berita Xinhua.

Sepanjang tempoh Julai 2017 hingga 23 Januari lalu, sebanyak 130 kes disahkan dijangkiti virus dan 162 kes disyaki di dua bandar terbesar iaitu Sao Paulo serta Rio de Janeiro direkodkan.

Gambar oleh EPA, 24 Januari, 2018.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran untuk semua pelancong supaya sentiasa berwaspada, pada 16 Januari lalu.

Dalam beberapa minggu, kebanyakan hospital di Sao Paulo dan Rio de Janeiro dipenuhi pesakit yang dijangkiti demam itu dengan jumlah kematian tertinggi dilaporkan di Minas Gerais membabitkan 24 kes, diikuti Sao Paulo (21) dan Rio de Janeiro (7), lapor BERNAMA.

Kementerian Kesihatan Brazil turut mengagihkan 57.4 juta vaksin di seluruh negara, pada tahun lalu.

Selain menyebabkan kematian manusia, virus itu juga membunuh 453 haiwan terutama monyet hingga memaksa pihak berkuasa menutup beberapa zoo pada 23 Januari lalu selepas seekor monyet mati akibat virus berkenaan.

Sementara itu, sejumlah 3,131 kes dilaporkan termasuk 392 kematian sejak wabak terbabit mula menular di Brazil, sejak Disember 2016 hingga April 2017.

 


Pengarang :