SELANGOR

LZS bantu segera keluarga asnaf fakir miskin

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 JAN: Keluarga asnaf fakir miskin, Yusaini Pungut, 39, dibantu segera berpindah sementara, di bilik penginapan Masjid Al Azim Pandan Indah, Ampang, dekat sini, semalam.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) bertindak demikian selepas Yusaini bersama isteri dan enam anaknya terpaksa mengosongkan rumah sewa mereka.

Dalam kenyataannya, LZS memaklumkan mereka segera menziarahi keluarga itu selepas mendapat maklumat berkenaannya.

“Berkaitan mereka dihalau, kami dimaklumkan keluarga Yusaini menerima notis untuk berpindah sejak sebulan lalu, namun mereka gagal berpindah seperti dikehendaki tuan rumah.

“Buat masa ini, mereka dibantu dan tinggal di bilik penginapan di Masjid Al Azim Pandan Indah, sementara mendapatkan rumah sewa yang baru dengan kadar segera,” katanya.

Yusaini dan isteri bersama enam anaknya berusia tiga hingga 11 tahun adalah asnaf fakir miskin berdaftar dan menerima bantuan daripada LZS.

Mereka adalah penerima bantuan zakat dalam bentuk sewa rumah (RM600 sebulan), kewangan bulanan (RM500 sebulan), makanan bulanan, pendidikan sekolah anak dan bantuan hari raya.

Difahamkan, Yusaini adalah pesakit barah usus, manakala isterinya tidak bekerja.


Pengarang :