NASIONAL

Operasi KTMB tanpa henti sempena Thaipusam

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melalui perkhidmatan komuter akan beroperasi selama tiga hari dua malam tanpa henti, sempena sambutan Thaipusam, bermula 30 Januari ini.

Pengurus Besar Operasi KTMB, S Mahendran berkata, perkhidmatan disediakan bermula dari 30 Januari hingga 1 Februari ini bagi memberi kemudahan pengangkutan kepada orang ramai khususnya penganut Hindu serta pelancong ke Batu Caves.

“Jumlah keseluruhan perkhidmatan tren yang disediakan untuk tempoh itu adalah 783 perkhidmatan. Seramai 400 kakitangan KTMB bersama anggota polis dan ambulans dijadual bertugas bagi memastikan kelancaran operasi dan keselamatan penumpang sepanjang tempoh itu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mahendran berkata, orang ramai yang ingin ke Batu Caves sepanjang tempoh berkenaan digalak menggunakan Stesen KTMB Sentul kerana perkhidmatan lebih kerap.

“Perkhidmatan pengangkutan e-hailing, GrabCar, turut bekerjasama menawarkan promosi sempena Thaipusam dengan kod promosi GRAB2KTMBC, diskaun RM5 untuk dua kali perjalanan,” katanya lapor Berita Harian.

Sementara itu, Pengurus Besar Keselamatan KTMB, Meyor Hamdan Meyor Mohamad berkata, lebih 100 anggota polis bantuan KTMB akan bertugas sepanjang tempoh berkenaan bagi melancarkan perjalanan dan perkhidmatan.

“Polis juga menyalurkan khidmat di stesen yang dijangka padat dengan orang ramai. Selain itu, kami akan menugaskan beberapa anggota polis bantuan di dalam tren bagi memantau keselamatan penumpang,” katanya.

KTMB menjangkakan lebih 400,000 pengguna menggunakan perkhidmatan tren sepanjang tempoh tiga hari berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, KTMB memaklumkan, orang ramai boleh mendapatkan kad Komuter Link secara percuma bagi urusan pembayaran tanpa tunai dengan tambah nilai minimum RM3.


Pengarang :