Gelagat dua pelajar menghilangkan dahaga dan menyejukkan badan susulan cuaca panas yang melanda sementara menunggu ahli keluarga menjemput mereka pulang dari sekolah di Bandar Seri Jempol pada 2 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPM pinda garis panduan, sekolah diharap susun semula program lawatan

GEORGE TOWN, 27 APRIL: Semua sekolah diharap dapat menyusun semula program lawatan masing-masing berikutan pindaan Garis Panduan Lawatan Murid Sekolah pada tahun lepas bagi mengukuhkan pembelajaran di luar kelas.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata menurut pindaan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Kementerian Pendidikan (KPM) Bilangan 9, lawatan murid pada masa ini dibenarkan hingga dua kali setahun bagi setiap murid mengikut keperluan dan kesesuaian.

“Kita bagi kebenaran untuk guru-guru merancang lawatan anak-anak. Sebelum ini setiap sekolah hanya dua kali setahun tetapi sekarang setiap anak murid dibenarkan dua kali, jauh beza.

“Kita mahu anak-anak kita mengikuti pembelajaran di luar kelas supaya perspektif, pengalaman dan kemahiran mereka dapat (diwujudkan) di luar kelas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) Pulau Pinang di Bukit Bendera di sini hari ini.

Fadhlina yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan Unesco Malaysia (SKUM) berkata KPM dalam proses untuk memperkenalkan semula Tapak Warisan Dunia di bawah Unesco dalam kalangan murid sekolah.

Beliau berkata setakat ini, KPM telah membuat program lawatan ke Tapak Warisan Dunia Unesco di Banda Hilir, Melaka diikuti Pulau Pinang hari ini dan seterusnya ke Sabah serta Sarawak.

Beliau yakin program lawatan tapak warisan dunia bukan sahaja meningkatkan minat murid terhadap sejarah, tetapi juga Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) memandangkan biodiversiti antara tajuk yang perlu dikuasai murid.

SPI garis panduan berkenaan yang dipinda pada 16 Jun lepas dan berkuat kuasa serta-merta, memberi penjelasan tentang tatacara pelaksanaan aktiviti lawatan murid.

Garis panduan berkenaan terpakai bagi peringkat pendidikan prasekolah hingga peringkat pendidikan lepas menengah selain institusi pendidikan swasta yang berdaftar dengan KPM juga disaran untuk merujuk garis panduan itu.

Garis panduan itu juga menjelaskan lawatan murid sekolah yang dirancang hendaklah diadakan untuk program akademik atau kokurikulum, pertandingan atau perkhemahan, lawatan sambil belajar atau program dan aktiviti lain yang ditentukan pelulus.

-BERNAMA


Pengarang :