SELANGOR

Penyelesaian masalah penduduk DUN Chempaka jadi keutamaan

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka, Dato’ Iskandar Abdul Samad menjelaskan pihaknya dan agensi berkaitan memberi penekanan bagi menyelesaikan permasalahan dihadapi penduduk di kawasan DUN berkenaan.

Beliau berkata, kerjasama semua pihak dalam menangani isu itu akan memudahkan lagi segala tindakan demi kebaikan rakyat.

“Saya melahirkan rasa gembira terhadap sokongan dari pelbagai pihak, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan.

“Segala permasalahan dan persoalan ditujukan penduduk sekitar akan segera diselesaikan setiap agensi,” katanya.

Exco Kerajaan Negeri itu berkata demikian dalam dialog bersama penduduk di Karnival Rakyat di Pangsapuri Merpati A, Pandan Indah, di sini, hari ini.

Dialog itu ialah acara kemuncak dijayakan bersama Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Chempaka, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pejabat Daerah Hulu Langat, Jabatan Bomba dan polis.

Karnival terbabit dijayakan Majlis Permuafakatan Prihatin Rakyat Selangor (MPRS) dengan kerjasama PKM DUN Chempaka mendapat sambutan meriah di kalangan penduduk sekitar.

Ia menyediakan pelbagai acara menarik untuk disertai kanak-kanak dan ibu bapa serta penduduk.


Pengarang :