SELANGOR

11 kawasan di KL alami gangguan bekalan air

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 FEB: Sekurang-kurangnya 11 kawasan di Kuala Lumpur dijadual mengalami gangguan bekalan air sementara, bermula Selasa dan Rabu ini.

Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dalam kenyataan berkata, gangguan itu ekoran kerja penambahbaikan perkhidmatan air bagi memastikan bekalan air berterusan.

“Pelanggan dinasihati menyimpan bekalan air secukupnya sebelum kerja penambahbaikan dilakukan pada tarikh berkenaan.

“Segala usaha akan diambil bagi menyiapkan kerja berkenaan secepat mungkin untuk memastikan pemulihan bekalan air lebih awal ke kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan.

SYABAS berkata, antara kawasan terbabit ialah Jalan Pudu, Jalan Sarawak, Jalan Pasar, Jalan Brunei, Jalan Davies, Jalan Kancil, Jalan Sungai Besi, Jalan Yew, Jalan Gajah, Jalan San Peng dan Jalan Landak.

“Pengguna boleh merujuk laman sesawang www.syabas.com.my atau melalui aplikasi telefon pintar mySyabas untuk maklumat terkini berkenaan gangguan bekalan air,” katanya.

Sementara itu, SYABAS juga sedang menuju ke arah ‘Mesra Alam’ dengan memperkenalkan e-bil baru dan masyarakat disaran daftar serta kemas kini maklumat di https://update.airselangor.com untuk menerima e-bil bermula Januari 2018.


Pengarang :