GLOBAL

17 maut dalam tembakan rambang di Florida

GLOBAL 15 FEB: Sekurang-kurangnya 17 mangsa maut dalam insiden tembakan rambang di sebuah sekolah tinggi di Florida Amerika Syarikat, namun suspek yang juga bekas pelajar sekolah terbabit berjaya diberkas.

Angka kematian itu disahkan oleh Sherif daerah Broward, Steve Israel.

Israel, berkata penembak berusia 19 tahun itu, yang dikenal pasti sebagai Nikolaus Cruz menyerah diri kepada pihak polis.

Menurut Israel, Cruz sebelum ini dibuang sekolah akibat masalah disiplin.

Terdahulu, stesen televisyen ABC News yang memetik sumber pihak berkuasa di lokasi insiden, melaporkan 15 mangsa terkorban, manakala CNN melaporkan 16 individu maut dalam tembakan itu.

Sebelum ini, pihak polis berkata, semua mangsa yang sudah dikenal pasti dihantar menerima rawatan di hospital tempatan.

Kejadian berlaku di Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas di sini, yang terletak kira-kira 72 kilometer di utara Miami.

Insiden itu menyebabkan ratusan pelajar lari bertempiaran menyelamatkan diri, sebelum kawasan itu dipenuhi dengan puluhan anggota polis dan kakitangan perkhidmatan kecemasan.

“Penembak sudah berjaya ditahan. Keadaan masih terkawal,” kata jabatan sheriff daerah Broward dalam mesej di Twitter.

Sementara itu, penguasa sekolah-sekolah daerah Broward, Robert Runcie, berkata pihak sekolah di daerah itu tidak menerima sebarang amaran mengenai kemungkinan berlakunya insiden tembakan itu.

Runcie juga berkata, tiada bukti menunjukkan bahawa kejadian itu membabitkan lebih daripada seorang penembak.

Dalam pada itu, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berkata, pihaknya akan membantu pihak berkuasa tempatan dalam menjalankan siasatan berhubung insiden itu.

SUMBER: REUTERS/AFP

FOTO: MIAMI CBS NEWS


Pengarang :