EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka rendah, Dow dan S&P 500 jatuh

KUALA LUMPUR 21 FEB: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan prestasi lemah semalaman di Wall Street.

BERNAMA melaporkan Wall Street menamatkan rali enam hari selepas prestasi tidak memberangsangkan yang direkodkan oleh Walmart Inc, serta larangan jualan saham teknologi.

Pada jam 9.08 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) adalah 2.95 mata lebih rendah pada 1,857.20, selepas dibuka 1.94 mata lebih rendah pada 1,855.38 daripada 1,855.99, penutup semalam.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 138 berbanding 104, manakala 182 kaunter tidak berubah, 1,476 tidak diniagakan dan 29 lain digantung.

Jumlah saham adalah sebanyak 96.45 juta dengan nilai RM52.81 juta.

Sementara itu, Dow dan S&P 500 jatuh bagi menamatkan kenaikan enam sesi berturut apabila berlaku penurunan ketara di Walmart, namun keuntungan di Amazon dan saham mewah membantu Nasdaq untuk kekal tidak berubah.

REUTERS melaporkan Walmart, rangkaian peruncit terbesar dunia melaporkan keuntungan lebih rendah daripada jangkaan dan mencatatkan penurunan mendadak dalam pertumbuhan jualan atas talian sepanjang tempoh cuti umum.

Sahamnya merosot sehingga 10.2 peratus, dan mengalami peratusan penurunan terbesar sejak Januari 1998.

Indeks pengguna S&P susut 2.25 peratus, jatuh hampir lima peratus bagi tahun ini.

Sebaliknya, saham peruncit dalam talian Amazon, menokok 1.4 peratus.

Purata Perindustrian Dow Jones susut 254.63 mata, atau 1.01 peratus kepada 24,964.75.

Manakala S&P 500 hilang 15.96 mata, atau 0.58 peratus kepada 2,716.26 dan Komposit Nasdaq susut 5.16 mata, atau 0.07 peratus kepada 7,234.31.

SUMBER: BERNAMA/REUTERS


Pengarang :