SUKANKINI

EPL: Liverpool belasah West Ham, lonjak tangga kedua

OLEH AFIX REDZUAN

ANFIELD, 25 FEB: Liverpool melonjak ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam selepas mencatakan kemenangan bergaya 4-1 ke atas West Ham United.

The Reds hampir dihadapan seawal minit kedua menerusi rembatan Mohamed Salah tetapi percubaannya dinafikan tiang gol.

West Ham juga hampir dihadapan pada minit ke-15 menerusi Marko Arnautovic yang berjaya melambungkan bola ke gawang Liverpool tetapi Loris Karius dapat menepis bola sebelum singgah ke palang gawang.

Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai pada minit ke-29 menerusi tandukan Emre Can hasil sepakan penjuru Mohamed Salah bagi meletakkan Liverpool mendahului 1-0 pada babak pertama.

Jaringan itu merupakan yang ke-100 buat The Reds sepanjang musim ini dalam semua kejohanan domestik dan eropah.

Bersambung babak kedua, Mohamed Salah menjadikan kedudukan 2-0 selepas mudah memperdaya pertahanan lawan hasil lorongan Oxlade-Chamberlain bagi gol ke-31 beliau bersama Liverpool musim ini.

Roberto Firmino meletakkan tuan rumah bertambah selesa di hadapan dengan jaringan ketiga pada minit ke-57 selepas berjaya melepasi asakan pertahanan dan penjaga gol, Adrian sebelum tenang memastikan bola menerjah jaring.

West Ham kembali bangkit merapatkan kedudukan 3-1 menerusi Michail Antonio selepas berjaya melepasi perangkap offside sebelum melepaskan rembatan menewaskan Karius.

Sadio Mane yang sebelum itu terlepas beberapa peluang menjaringkan gol melebarkan pendahuluan Liverpool kepada 4-1 pada minit ke-77 selepas mudah menampan hantaran Andrew Robertson.

Liverpool melonjak ke tangga kedua liga dengan 57 mata selepas 28 perlawanan, kelebihan satu mata dihadapan Manchester United yang akan melayan kunjungan Chelsea di Old Trafford malam nanti.

Foto Kredit: Mirror.co.uk


Pengarang :