ALAM SEKITAR & CUACASELANGOR

Geran Alam Sekitar & Teknologi Hijau Selangor terima 200 permohonan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 FEB: Program Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau yang dilancarkan Kerajaan Negeri bermula awal tahun ini mendapat sambutan menggalakkan apabila mendapat permohonan daripada 200 organisasi seluruh Selangor.

Exco Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, berkata organisasi terbabit terdiri daripada persatuan penduduk, Badan Pengurusan Bersama (JMB), persatuan surau, masjid, institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelbagai organisasi lain.

“Ini adalah satu permulaan yang sangat bagus dan setakat ini Kerajaan Negeri sudah meluluskan 98 permohonan dengan jumlah RM750,000 yang akan disalurkan kepada organisasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Taklimat Program Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Selangor 2018 di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) atau turut dikenali Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam di sini, hari ini.

Ketika ditemui media beliau menjelaskan, permohonan yang berjaya setakat ini membabitkan 44 permohonan daripada JMB, 10 universiti, 11 sekolah, 15 institusi agama seperti masjid dan surau serta 18 organisasi bukan kerajaan (NGO).

Katanya, projek permohonan itu pula melibatkan 15 projek gotong royong tanam pokok, 20 projek kitar semula, 21 projek pendidikan alam sekitar, 29 projek penjimatan tenaga solar dan LED, lapan projek pemuliharaan air dan perubahan iklim dan lima projek kebun komuniti.

Sementara itu, program diadakan pagi tadi dihadiri lebih 150 peserta daripada hampir 100 organisasi sama ada yang berjaya memperolehi geran mahu pun yang berminat untuk menjalankan projek kemasyarakatan berkaitan alam sekitar dan teknologi hijau pada masa hadapan.

=EZY=


Pengarang :