SELANGOR

JAIS laksana Pelan Tindakan Menangani Gejala Khalwat

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 FEB: Dalam usaha mencegah gejala khalwat yang semakin membimbangkan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melaksanakan Pelan Tindakan Menangani Gejala Khalwat Negeri Selangor 2018-2023.

Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim berkata, pelan itu inisiatif JAIS menangani khalwat yang menjadi punca perbuatan zina dan peningkatan kehamilan luar nikah yang tidak sah taraf.

“Pelan tindakan terhasil melalui Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan dengan mengadakan beberapa siri bengkel bagi membincangkan isu dan masalahan khalwat, seterusnya mencari solusi bagi menanganinya.

“Setiap ahli panel akan menjelaskan secara terperinci berkaitan gejala khalwat, cadangan mengatasi, kumpulan yang ingin disasarkan, impak pelaksanaan serta peranan pihak lain bagi pelaksanan pelan itu.

“Pelam yang dirangka terbahagi kepada empat komponen utama antaranya Pra Sekolah, Pengajian Tinggi, Agensi Swasta dan Kerajaan serta Individu dan Institusi Keluarga ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Menangani Gejala Khalwat Negeri Selangor 2018-2023 di Bangunan Sultan Idris Shah, pagi tadi.

Katanya, untuk pastikan gejala ini berkurangan kerjasama dari orang awam, agensi kerajaan mahupun swasta amat penting.

Tambahnya lagi, beliau turut memuji langkah yang diambil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan mensyaratkan permohonan membuka hotel bajet perlu mendapat kelulusan agensi kerajaan termasuk JAIS.

“Diharap pelan ini akan menjadi panduan dan rujukan seluruh jabatan dan agensi kerajaan serta swasta dalam melaksanakan program program.

“Pada masa sama tindakan penguatkuasaan yang lebih proaktif akan berjalan seperti biasa dari semasa ke semasa,” katanya.

=EZY=


Pengarang :