NASIONAL

Kenyataan Nazri terhadap Tun M angkuh dan biadap

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 FEB: Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membidas kenyataan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang disifatkan sebagai angkuh dan biadap kepada Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sebagai seorang pemimpin, Mohamed Nazri sepatutnya berjiwa besar dan mampu mendengar kritikan semua pihak termasuk negarawan seperti Mahathir dengan hati yang terbuka.

“Reaksi diberikan angkuh dan memang biadap tetapi memang kita tahu bagaimana sikap dia sejak dulu lagi dan kalau pandangan negarawan seperti Tun Dr Mahathir diketepikan atau tak diambil kisah, bagaimana kritikan rakyat yang datang daripada media sosial, khususnya anak muda diambil kira oleh Nazri Aziz.

“Saya harap beliau tidak lagi bodoh sombong, kena beri perhatian kepada kritikan rakyat khususnya golongan anak muda,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, semua pihak berhak memberikan pandangan masing-masing dalam pelbagai isu termasuk membabitkan kepentingan negara.

Terdahulu, dalam isu logo bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 menjadi perbualan nitizen gara-gara mempunyai rekabentuknya terlalu ringkas yang dianggap tidak mampu menarik perhatian pelancong luar negara.

Logo terbabit turut mendapat perhatian Mahathir sebelum dibalas dengan kenyataan yang dikatakan menyamakan Mahathir dengan monyet.

“Saya guna (gambar) monyet itu supaya monyet macam dia (Mahathir) buat ulasan macam ini,” kata menteri yang terkenal dengan cakap lepasnya itu.

=EZY=


Pengarang :