BERITA UTAMASELANGORWANITA & KEBAJIKAN

KISS penuhi aspirasi rakyat

OLEH SHEEDA FATHIL

TANJONG KARANG, 18 FEB: Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) memenuhi aspirasi rakyat dalam usaha memberdaya golongan itu, di Selangor.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan & Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Datin Seri Shamshida Taharin berkata, beliau bersyukur kerana program itu menerima sambutan luar biasa sejak dilancarkan, pada Januari lalu.

Katanya, kejayaan itu sekali gus membuktikan inisiatif meningkatkan taraf ekonomi golongan ibu, di Selangor bercaya dicapai.

“Ini adalah salah satu inisiatif Kerajaan Negeri meraikan golongan wanita yang merupakan insan paling istimewa dalam hidup kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Hi-Tea dan Wacana Wanita bersama penerima kad KISS DUN Permatang, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 500 penerima kad KISS dirai dan turut dihadiri Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.

Sementara itu, penerima, Normah Hassan, 62, berkata beliau gembira kerana Kerajaan Negeri peduli dengan nasib wanita, terutama golongan ibu.

“Program ini sedikit sebanyak meringankan beban saya untuk menyara keluarga memandangkan suami sudah tidak dapat bekerja kerana keuzuran,” katanya.

Manakala, Nirmala Beiv, 32, berkata sejak berpisah dengan suaminya, beliau terpaksa menyara tiga orang anak, justeru bersyukur KISS diwujudkan.

“Semoga program ini terus dilaksanakan memandangkan ia sangat membantu golongan ibu tunggal khususnya,” katanya yang kini bekerja di kilang.

Lee Bee Yong, 49, berkata beliau berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana mewujudkan inisiatif KISS dan memberi peluang kepada semua kaum memperolehinya.

“Saya berasa gembira apabila permohonan KISS diluluskan dan Kerajaan Negeri sudah membuktikan mereka peduli dengan nasib wanita semua kaum,” katanya.


Pengarang :