SELANGOR

MPKj – MPAJ jalin kerjasama cegah denggi

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KAJANG, 28 FEB : Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menjalin kerjasama melaksanakan bengkel kesedaran pencegahan denggi, Mac ini.

Yang Dipertua MPKj, Mohd Sayuti Bakar berkata, inisiatif berkenaan dijayakan bagi meningkatkan pemahaman umum terhadap aspek kebersihan dan bahaya denggi di Selangor.

“MPKj terus komited memerangi denggi bersama agensi kerajaan terlibat termasuklah bekerjasama dengan MPAJ melaksanakan program dan bengkel menilai masalah denggi ini supaya ia dapat diselesaikan.

“Pemilihan MPAJ kerana PBT itu turut bertangungjawab mengurus pentadbiran di daerah Hulu Langat dan mukim ini bagi memberi tumpuan terhadap aspek denggi secara menyeluruh di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, MPKj terus mencatatkan kumulatif kes denggi sebanyak 7 kematian denggi bagi tempoh sehingga 24 Februari lalu.

Mohd Sayuti optimis pelan perancangan dan kempen berterusan dilaksanakan PBT itu mampu mendidik masyarakat untuk lebih peka terhadap bahaya denggi.

“Trend penurun kes denggi boleh dicapai sekiranya masyarakat mempunyai kesedaran tinggi memerangi denggi di kediaman dan persekitaran masing-masing,” katanya.


Pengarang :