SELANGOR

NARBO sumber Selangor tingkat pengurusan sumber air

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 5 FEB: Program anjuran Network of Asian River Basin Organizations (NARBO) menjadi landasan Kerajaan Negeri menambah baik sistem pengurusan sumber air di Selangor.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, pemilihan Selangor sebagai tuan rumah adalah satu penghormatan dan membuka ruang perkongsian idea dengan negara anggota NARBO.

“Hari daripada program tiga hari ini, Kerajaan Negeri akan melihat hasilnya untuk diimplementasikan demi kebaikan semua.

“Pastinya banyak faedah dan input berguna diperoleh hasil perkongsian idea daripada negara anggota yang telah berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian Network of Asian River Basin Organizations (NARBO) Integrated Water Resources Management (IWRM) Training For Sustainable di sini, hari ini.

Program bersama NARBO dan Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) disertai 19 negara anggota mulai hari ini hingga Khamis membariskan beberapa pembentang kertas kerja antaranya Pengarah NARBO, Dato’ Dr Md Nasir Md Noh; Timbalan Pengarah Perhubungan Antarabangsa NARBO, Jun Utsunomiya serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan LUAS, Nor Zamri Sondor.

NARBO diwujudkan pada 2004 dengan urusetia, Japan Water Agency (JWA) bertindak sebagai sekretariat menguruskan pelbagai jenis latihan, persidangan antarabangsa, lawatan sambil belajar, latihan amali dan sebagainya.

Kerajaan Negeri menjadi anggota NARBO sejak 2004 dan ia selari dengan fungsi LUAS sebagai agensi pengurusan sumber air yang melaksanakan Pelan Pengurusan Bersepadu Lembangan Sungai (IRBM).

Antara faedah diperoleh ialah mempertingkatkan keberkesanan, menambah baik inisiatif kebolehdapatan sumber air Selangor selain membawa negeri itu ke peringkat antarabangsa sebagai salah satu negeri di Malaysia yang menjadi pengurusan sumber air terbaik.


Pengarang :