NASIONALSUKANKINI

Petronas Sprinta Racing sedia hadapi Moto3 2018

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 16 FEB: Petronas Sprinta Racing bersedia menghadapi cabaran dalam Kejohanan Dunia Moto3 2018 dengan melancarkan pasukannya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini, pada 14 Februari lalu.

Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Zahariah Abdul Rahman berkata, pihaknya yakin penyertaan dalam kejohanan itu bakal mengukuhkan jenama pasukan itu dan berbangga ia dapat direalisasikan.

“Ia memberikan gambaran jelas akan komitmen dikongsi PETRONAS Sprinta Racing bersama SIC yang percaya bakat Malaysia berpotensi untuk diketengahkan di peringkat tertinggi jika diberi peluang dan bimbingan,” katanya dipetik http://www.sicracingteam.com/

Perkongsian strategik PETRONAS dan SIC menyaksikan pasukan itu menampilkan penunggang tempatan, Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki dari Jepun dengan jentera Honda NSF250RW.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, kerjasama antara kedua pihak amat menggembirakan dan SIC berbangga memiliki Petronas sebagai rakan strategik.

“Pasukan dimiliki adalah kemuncak matlamat kita bersama untuk membangunkan bakat bagi perlumbaan kejohanan dunia dan menerusi kejohanan MotoGP kita akan berusaha mencapai tahap lebih tinggi.

“Penunggang juga mempunyai keazaman tinggi dan dengan kepakaran teknikal dalam pasukan diketuai Johan Stigefelt, maka kita akan berusaha meletakkan Malaysia, di peta kejohanan dunia,” katanya.

 


Pengarang :