NASIONAL

SPAD tingkat penguatkuasaan sempena Tahun Baharu Cina

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 FEB: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengeluarkan pekeliling memberi peringatan kepada pengusaha bas ekspres di seluruh negara supaya mengambil serius berhubung isu keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

Memetik laporan BERNAMA, SPAD berkata, pihaknya mengambil serius isu berkenaan dan akan menguatkuasakan undang-undang secara maksimum kepada pengusaha bas yang didapati cuai dalam mengurus operasi masing-masing daripada aspek keselamatan, pengurusan pemandu dan penyelenggaraan kenderaan.

“Bergantung pada tahap serius kesalahan yang dilakukan, syarikat bas menghadapi risiko lesen mereka digantung atau dibatalkan,” kata SPAD dalam kenyataan.

Malah, SPAD turut meluluskan permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) dari 108 syarikat bas dengan tambahan lagi 313 bas, maka ia untuk memastikan jumlah bas mencukupi sempena musim perayaan.

Menurut kenyataan itu, SPAD berganding bahu dengan polis, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Antidadah Kebangsaan dan agensi penguatkuasaan lebuh raya sebagai sebahagian daripada langkah penguatkuasaan bersepadu selama 17 hari, sehingga 25 Februari ini.


Pengarang :