EKONOMI

Ringgit rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ekoran sokongan lebih kukuh ke atas matawang AS termasuk kejatuhan harga minyak, kata peniaga.

Pada jam 9.00 pagi, ringgit diniagakan 3.9360/9400 berbanding dolar AS daripada penutup semalam iaitu 3.9245/9275, lapor BERNAMA.

Peniaga berkata, dolar AS terus mencatatkan kenaikan yang dipacu permintaan bagi tujuan keselamatan.

Ia kekal meningkatkan matawang tempatan dengan momentum positif menunjukkan lonjakan berterusan dan dijangka menuju ke arah 3.9554.

Beliau berkata, ringgit juga terjejas dengan kejatuhan harga minyak yang susut kepada paras terendah dalam tempoh tujuh minggu, pada 8 Februari lalu.

Ia berlaku di tengah-tengah kebimbangan berhubung kenaikan bekalan global selepas Iran mengumumkan untuk meningkatkan pengeluaran selain pengeluaran minyak mentah AS juga mencecah paras tertinggi.

Ringgit juga didagangkan lebih rendah berbanding matawang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9547/9584 daripada 2.9496/9523 dan jatuh berbanding euro kepada 4.8240/8297 daripada penutup semalam iaitu 4.7993/7041.

Ringgit turut lemah berbanding pound British kepada 5.4852/4912 daripada 5.4394/4439 dan menyusut berbanding yen kepada 3.6153/6200 daripada 3.5759/5789.


Pengarang :