SELANGOR

RM3.5 juta naik taraf Sungai Bakau

OLEH SHEEDA FATHIL

RAWANG, 13 FEB: Sejumlah RM3.5 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk menaik taraf Sungai Bakau bagi mengurangkan kejadian banjir kilat, di kawasan sekitar.

Ahli Dewan Negeri Rawang, Gan Pei Nei berkata, ia merangkumi pembesaran laluan jambatan dan mendalamkan sungai memandangkan kawasan itu sedikit rendah.

“Projek itu turut menggunakan konsep mesra hijau dengan penanaman rumput sepanjang 1.3 kilometer (km) di laluan sungai terbabit,” katanya ketika melakukan tinjauan di kawasan itu, hari ini.

Beliau berkata, projek yang bermula pada 9 Disember 2016 itu sepatutnya siap, pada Februari ini, namun terpaksa ditangguh atas beberapa faktor.

Pei Nei berkata, antara faktor itu ialah penstrukturan semula jajaran sungai bagi mengelak pengambilan tanah persendirian, bukan di bawah Kerajaan Negeri.

“Bagaimanapun, projek itu dijangka siap sepenuhnya, penghujung April ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerja menaik taraf sungai berkenaan boleh mengelakkan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di jalan utama.

“Jambatan ini juga boleh mengurangkan kesesakan kepada mereka yang ingin keluar masuk ke Bandar Country Homes,” katanya.

 


Pengarang :