BERITA UTAMASELANGOR

Lagi 200 bantahan syor persempadanan semula diserah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 FEB: Jawatankuasa Pilihan Raya Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor menyerahkan 200 bantahan terhadap Syor Kedua Kajian Persempadan Negeri, di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Selangor, pagi ini.

Pengarahnya, Dr Xavier Jayakumar berkata, ia turut membabitkan 30,000 tandatangan yang dikumpul komponen PAKATAN, iaitu KEADILAN, DAP, Parti Bribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0.

“Bantahan ini mewakili suara rakyat Selangor yang mengharapkan SPR bertindak lebih profesional dan adil tanpa memihak kepada mana-mana parti serta menelitinya secara telus berdasarkan fakta dikemukakan.

“Ia dibuat menjamin hak pengundi Selangor di semua kerusi DUN dan Parlimen, justeru kami berharap SPR akan mengambil kira permintaan rakyat untuk memastikan pembahagian sekata boleh dibuat,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, SPR sewajarnya bertanggungjawab memastikan tiada sentimen manipulasi oleh sesetengah pihak demi kepentingan dan agenda tertentu.

“Apabila BERSIH merujuk kepada syor kedua SPR, jelas wujud pelanggaran dalam Perlembagaan berkenaan hak pengundi, pada pilihan raya akan datang.

“Bagaimanapun, cubaan kita meneruskan bantahan ini relevan sebagai inisiatif melindungi Perlembagaan dan proses demokratik di negara ini,” katanya.

Terdahulu, SPR mengumumkan syor cadangan persempadan baru Selangor yang didakwa pimpinan Kerajaan Negeri sebagai berat sebelah membabitkan komposisi kaum, di negeri itu.

Dr Xavier sebelum ini mendedahkan wujudnya ketidakseimbangan jumlah kesamarataan pengundi, di kawasan bandar dan luar bandar antaranya N.01 Sabak dengan jumlah pengundi 15,033, berbanding di N.29 Seri Serdang, 74,563 pengundi.


Pengarang :