PBTSELANGOR

Sistem Flexi Parking MBSA catat 21,913 pengguna

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 13 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mencatatkan 21,913 pengguna sistem bayaran tempat letak kereta pintar, dikendalikan Flexi Parking sehingga Januari lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, sistem itu mendapat sambutan menggalakkan sejak dilaksanakan, pada Januari 2017.

Katanya, ia adalah salah satu inisiatif MBSA ke arah penambahbaikan pengurusan tempat letak kereta yang lebih efisien dan sistematik

“Melalui sistem ini, orang ramai boleh membuat belian kredit secara dalam talian menggunakan perbankan internet daripada telefon pintar sebagai kaedah alternatif selain menggunakan kupon gores dan pas bulanan.

“Ia juga diperkenalkan bagi mengurangkan masalah serta aduan pengguna berkaitan kesukaran mendapatkan kupon, salah menggores kupon serta lambakan buku kupon bagi pengguna yang sering berkunjung ke kawasan pentadbiran MBSA,” katanya.

Aplikasi Flexi Parking itu boleh dimuat turun secara percuma di Android Play Store atau Apple Apps Store dan pengguna akan diberi peringatan sepuluh minit lebih awal sebelum tamat tempoh letak kenderaan.

Sebarang pertanyaan berkenaan pelaksanaan sistem Flexi Parking ini boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan di talian 03-5510 5133 sambungan 1477, 1656, 1657, 1658.


Pengarang :