OLEH HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 2 FEB: Perjanjian termeterai antara Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) bagi menaja Liga Malaysia (Liga M) bernilai RM480 juta, adalah yang terbesar dalam sejarah sukan negara.
Ia membuktikan keyakinan TM terhadap kepimpinan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Hak penyiaran ini akan diagihkan kepada semua pasukan bertanding di dalam Liga Super dan Liga Perdana.
“Jumlah hak penyiaran ini akan meningkat pada setiap tahun dan akan menjadi hak penyiaran tertinggi yang tidak pernah sesebuah pasukan dalam negara miliki sebelum ini,” kata FAM dalam kenyataannya.
Semalam, TM menjalin kerjasama dengan FMLLP bagi menaja Liga M, yang membolehkan peminat bola sepak tanahair dapat menyaksikan perlawanan secara langsung liga bola sepak tempatan menerusi platform unifi.
Perjanjian itu menyaksikan unifi, jenama utama TM menjadi penaja bagi Liga Super, Piala Malaysia dan penaja bagi Piala FA mulai tahun ini hingga 2025, membuktikan sokongan berterusan TM terhadap pembangunan bola sepak tempatan dan menaikkan mutu sukan di negara ini.
Melalui penajaan dimeterai, Liga Super kini dikenali ‘unifi Liga Super’ dan Piala Malaysia sebagai ‘unifi Piala Malaysia’.