BERITA UTAMASELANGOR

YIDE ‘role model’ buat Yayasan Sultan Kelantan Darul Naim

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 FEB: Yayasan Sultan Kelantan Darul Naim (YSK) tertarik dengan Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang dikawal selia Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan berhasrat membuka pusat itu di negeri mereka.

Setiausaha Eksekutif YSK, Mohd Zaki Yusoff berkata, ia bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan untuk membiayai kos perubatan dialisis bertepatan dengan fokus utama yang menekankan aspek kebajikan rakyat Kelantan.

“Saya melihat Pusat Dialisis MAIS dikawal selia YIDE sebagai ‘role model’ dari sudut pengurusan dan gerak kerja dalam menyediakan perkhidmatan terbaik bagi pesakit dialisis di negeri Selangor ini.

“Justeru itu, YSK menjadikan YIDE sebagai rakan perkongsian pengalaman untuk membantu merealisasikan hasrat murni kami membuka pusat dialisis di Kelantan pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga selaku Pengarah Bahagian Integriti dan Tadbir Urus Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan mengetuai delegasi YSK melawat YIDE, semalam.

Kunjungan mereka ke YIDE disambut baik Pengurus Operasi Pusat Dialisis MAIS, Nor Hafzam Mohamad dan Pengurus Operasi, Bahagian Promosi dan Sumbangan YIDE, Md Ariffin Jaafar.

Pada masa sama, YIDE turut membawa delegasi YSK melawat Pusat Dialisis MAIS cawangan Shah Alam.

Antara lain dibincangkan semasa pertemuan adalah usahasama diantara kedua pihak selain bertukar pandangan berkenaan program berkebajikan yang dilaksanakan di Selangor ini.

YSK adalah institusi kebajikan berteraskan keagamaan, sosio ekonomi, pendidikan dan kewangan di Kelantan.

Yayasan Sultan Kelantan Darul Naim itu dilancarkan pada 7 Mei 2011 dan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V.


Pengarang :