SUKANKINI

UCL: Liverpool ratah FC Porto 5 gol tanpa bolos

OLEH AFIX REDZUAN

PORTUGAL, 15 FEB: Liverpool tidak berdepan masalah mencipta kelebihan gol di tempat lawan apabila membelasah FC Porto 0-5 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Sadio Mane mencatat hatrik pertama bersama Liverpool dalam saingan eropah sementara Roberto Firmino dan Mohamed Salah masing-masing menyumbang satu gol.

Mane meletakkan The Reds 0-1 di hadapan seawal minit ke-25 apabila berjaya merembat masuk bola yang gagal ditampan kemas penjaga gol Porto, Jose Sa.

Selang empat minit kemudian, Mohamed Salah menjadikan kedudukan 0-2 apabila berjaya menyambut bola muntah yang singgah ke tiang gol hasil percubaan awal James Milner sebelum tenang memperdaya pertahanan dan menolak masuk bola ke gawang.

Belum sempat Porto mengatur gerakan Mane melebarkan kedudukan kepada 0-3 pada awal babak kedua apabila berjaya merembat bola yang gagal ditampan kemas Jose Sa hasil percubaan Roberto Firmino.

Masuk minit ke-69, Firmino menambah derita pasukan tuan rumah apabila tenang menampan hantaran ke tengah Milner bagi kedudukan 0-4.

Selepas sekian lama menanti, Mane akhirnya berjaya melengkapkan hatrik menerusi rembatan luar kotak penalti bagi memastikan anak buah Jurgen Klopp pulang ke Anfield dengan kelebihan besar 0-5.

Kedua-dua pasukan bakal bertemu pada aksi kedua di Anfiled pada 7 Mac depan.

Foto Kredit: UEFA Champions League


Pengarang :